Kelab Pencegah Jenayah SMK Paya Pulai

Banner Blog KPJ SMK Paya Pulai

Monday 18 October 2010

LAPORAN PERKHEMAHAN KELAB & JATI DIRI DI DEERLAND PARK 2010

TARIKH / TEMPAT

Perkhemahan ke Deerland Park Lanchang diadakan pada: 24/09/2010 hingga 25/09/2010 iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu

Bermula pada jam 2.45 petang Jumaat hingga 4.30 petang Sabtu

PESERTA

Pelajar yang terpilih seramai 40 orang terdiri daripada pelajar Melayu dan India yang dipilih mengikut keahlian kelab.

PERBELANJAAN

Kos perbelanjaan adalah tanggungan oleh pihak sekolah sebanyak RM 1,100.00 dan bayaran peserta adalah RM 1,320.00 .Seramai 40 orang peserta dan 4 orang guru terlibat. Pengangkutan telah menggunakan khidmat Jabatan Perhutanan, Ladang Kemasul, Temerloh dan sebuah van milik Maahad Tahfiz Al Amin Berhala Gantang.

(Perbelanjaan perkhemahan keseluruhan sebanyak RM 2420.00 seperti dituntut dalam kertas kerja yang telah dilampirkan kepada pihak sekolah)

PERISIAN AKTIVITI

Peserta bergerak ke Deerland pada jam 3.30 petang dari SMK Paya Pulai seperti yang telah dirancangkan dan bergerak dengan lancar.

Sampai di Deerland Park dan menunggu untuk pendaftaran peserta di lokasi yang ditetapkan serta bergerak ke base taklimat. Selepas itu, peserta diarahkan untuk menuju ke tapak perkhemahan masing-masing.

Peserta diberi maklumat yang disampaikan oleh pihak Deerland serta beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Beberapa lokasi telah ditetapkan untuk peserta mendirikan khemah. Peserta diarahkan supaya bekerja dalam kumpulan untuk mendirikan khemah dan tempat solat. Lokasi yang tersedia memudahkan peserta mempamerkan aktiviti merekan dan mendapatkan bantuan daripada peserta lain tanpa banyak kekangan. Peserta dibenarkan mandi di sungai kerana ia berdekatan dengan tapak perkhemahan dan suasana mengizinkan untuk melakukan aktiviti di sungai.Pelaksanaan aktiviti berjalan dengan lancar.

Hujan lebat pada waktu malam menyebabkan aktiviti night walk ditangguhkan. Beberapa buah khemah basah teruk dan sebahagian peserta terpaksa tidur di khemah tempat solat.

RUMUSAN

Sepanjang perkhemahan, peserta dapat menerima maklumat melalui pencerapan, soal jawab serta pemerhatian yang diperolehi. Pendedahan dan pengalaman ini banyak membantu peserta serta memberi motivasi dalaman khususnya berkaitan dengan aktiviti dan kerjasama dalam kumpulan.

Kemampuan menyerap maklumat ini banyak membantu peserta memperolehi pembelajaran baru serta menarik minat peserta untuk berinteraksi serta menimba bidang tersebut pada masa akan datang.


ISU & IMPAK PROGRAM

Peserta mendapat pengalaman tentang bidang yang boleh disertai. Mungkin di awal perkhemahan, peserta menunjukkan sikap kurang menyenangkan kerana segelintirnya kurang senang dengan aktiviti yang dijalankan, tetapi akhirnya makin menyeronokkan.

Peserta menjadi lebih faham terhadap bentuk perkhemahan dan dapat bekerjasama dalam menyesuaikan keadaan.

PENUTUP

Perkhemahan ini banyak memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada peserta. Semoga program seperti ini dapat memberikan ilmu yang berguna kepada mereka yang tidak mengambil tahu tentang alam sekeliling serta di masa akan datang bagi memenuhi keperluan diri dan kumpulan melalui pengalaman yang mereka alami sendiri

Sekian, Terima Kasih


DISEDIAKAN OLEH


................................................................. Tarikh: 18 Oktober 2010
(FATAHAI ARIFFIN B ABU BAKAR)

Penyelaras Kem Perkhemahan Kelab & Jati Diri
SMK Paya Pulai, Temerloh

Friday 8 October 2010

Kelab Pencegahan Jenayah SMK Paya Pulai

Latar Belakang

Kelab Pencegahan Jenayah ialah kelab yang ditubuhkan di semua sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2006, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Matlamat Penubuhan KPJ
1. Membangkitkan kesedaran dan kepekaan murid-murid terhadap kemungkinan wujudnya gejala antisosial di sekeliling mereka.
2. Mewujudkan kerjasama yang erat di antara pihak sekolah dan pihak polis dalam usaha mencegah perbuatan jenayah sama ada di dalam atau di luar sekolah.
3. Membentuk komuniti murid yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap aspek pencegahan jenayah dan mempunyai kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Moto KPJ
“Mencegah lebih baik daripada Memerangi”

Objektif KPJ
1. Melahirkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam pencegahan jenayah.
2. Menanamkan nilai-nilai moral yang tinggi di kalangan murid.
3. Menimbulkan kesedaran bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada memerangi jenayah.
4. Menyediakan garis panduan tentang cara-cara pencegahan dan menjalankan aktiviti yang bersesuaian.
5. Melahirkan murid-murid yang bertanggungjawab dalam hal menangani jenayah demi agama, bangsa dan negara.

Peranan Ahli KPJ
Peranan Ahli KPJ adalah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang mengambil kira lima domain pembangunan murid Kementerian Pelajaran Malaysia:

1. Pembudayaan Adab Murid
2. Peningkatan Disiplin Murid
3. Perpaduan Murid
4. Patriotisme
5. Jatidiri
Jawatankuasa KPJ
Pelaksanaan KPJ di semua sekolah ditentukan dan dipantau oleh:
1. Jawatankuasa Bertindak melalui pendekatan masyarakat yang dibentuk oleh Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Gejala Salah Laku Murid peringkat KPM.
2. Jawatankuasa Disiplin Murid Jabatan Pelajaran Negeri
3. Jawatankuasa Peringkat Gabungan/Daerah/Zon (pengetua/guru besar yang dilantik oleh KPPM)
4. Jawatankuasa KPJ peringkat sekolah

Jawatankuasa KPJ Peringkat Sekolah

Penaung:
Pn. Hjh Norlaila Ismail
Pengetua SMK Paya Pulai
Penasihat:
En. Mohd Nor Hilmie Mohd Tajuddin
(Penolong Kanan KOKO)

Guru Penasihat:
En. Fatahaiariffin b Abu Bakar
En. Ahmad Nizal b Ibharim


Keahlian:
Murid yang terpilih sahaja

Gejala Ponteng Sekolah

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hajan walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.

Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah disebabkan oleh keruntuhan institusi keluarga seseorang pelajar itu. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan anak-anak mereka tidak di hiraukan. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah displin di kalangan pelajar terutamanya masalah ponteng sekolah. Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.

Selain itu, pengaruh rakan turut menjadi satu punca berlakunya masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka hanya akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Fenomena ini berlaku kerana rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang dianggap munasabah bagi mereka. Pelajaran di sekolah dikatakan membosankan dan aktifiti ponteng sekolah untuk menenangkan fikiranmenjadi alasan untuk tidak hadir ke sekolah. Ini jelas menunjukkan pengaruh rakan menjadi satu faktor berlakunya ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Didikan daripada ibu bapa dan ajaran agama yang kurang turut menimbulkan masalah ponteng sekolah yang kian menjadi-jadi itu. Ketika berada di rumah, anak-anak tidak dididik oleh ibu bapa mereka dengan sempurna dan sikap tanggungjawab tidak diterap ke dalam jiwa mereka. Ini secara tidak tidak langsung mempengaruhi pembentukan peribadi mereka dan amalan ponteng sekolah merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab dipraktikkan oleh mereka. Masalah didikan ibu bapa yang tidak efektif kadang-kala boleh menyebabkan mereka tidak berupaya melakukan penaakulan yang rasional mengenai kesalahan yang mereka lakukan serta baik buruknya sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Ini membuktikan didikan daripada iu bapa yang kurang sempurna secara tidak langsung mem pengharuhi timbulnya gejala ponteng sekolah tersebut.

Antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah ini adalah dengan mengetatkan peraturan sekolah. Hukuman yang lebih berat seperti digantung sekolah dan dibuang sekolah patut diwujudkan bagi pelajar-pelajaar yang mempunyi kekerapan tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang munasabah. Sistem pengesanan amalan ponteng sekolah yang lebih efektif patut dilaksanakan supaya pelajar-pelajar yang kerap ponteng sekolah dapat dikesan dengan lebih cepat dan lebih berkesan. Khidmat kaunseling perlu diberikan kepada mereka yang sering ponteng sekolah bagi memastikan masalah yang mereka hadapi lalu langkah membantu boleh dilaksanakan.

Ibu bapa turut perlu meluangkan lebih banyak masa bersanma anak-anak mereka dan memberi perhatian yang secukupnya terhadap tingkah laku anak-anak mereka di sekolah. Kebebasan bergaul dengan rakan di luar sekolah turut patut dikawal demi mengelakkan anak-anak dipengaruhi dengan amalan suka ponteng sekolah. Didikan tidak formal sejak kecil lagi perlu dilakukan kerana melentur buluh biar ddari rebungnya. Anak-anak perlu dididik untuk bersikap lebih bertanggungjawab dam berupaya berfikir secara rasional.

Masyarakat sekeliling turut perlu berkerjasama dalam usaha menangani masalah ini dengan melaporkan kes-kes ponteng sekolah di luar sekolah jika dapat dikesan. Sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis di kalangan masyarakat. Pihak kerajaan juga boleh menganjurkan ceramah dan kempen yang berkaitan dengan keburukan kegiatan ponteng sekolah di setiap sekolah. Ini sedikit sebanyak dapat mrmbantu dalam mewujudkan kesedaran dalam diri pelajar-pelajar mengenai keburukan gejala ponteng sekolah kerana belakang parang diasah, lagikan tajam.

Kesimpulan, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini sebelum nasi menjadi bubur. Demi mewujudkan generasi jang lebih berguna pada masa hadapan juga, langkah drastik daripada semua pihak patut dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Jadi, sama-sama kita berganding bahu untuk menangani masalah ini.

Disiplin Pelajar Sekolah Semakin Merosot

PENGENALAN

Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, “ Buli gugat semangat belajar ” dan “ Kerjasama penting bagi banteras gangsterisme”. Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada akhbar-akhbar tempatan pada masa kini. Berita-berita seperti ini membayangkan kemerosotan disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata.


Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali ‘Black Metal’. Hakikatnya jelas dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.

PONTENG SEKOLAH

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai “ cendawan tumbuh selepas hujan ” walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.

Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi). Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.

KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH
Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap didefinisikan sebagai “Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah”.
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata;
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi." (Utusan Malaysia 20 Feb 97)

Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.
Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan.
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas.
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu:
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging”, dikagumi dan kekuasaan.
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.

KESAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah.

Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah:
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam.
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh.

CADANGAN
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini.
2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya.
3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling – Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara pada masa akan datang.
4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur.
5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

PENUTUP
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.

Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.